THE HAGUE- Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat menegaskan bahawa mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat warga Israel dan mendesak hakim membuat keputusan segera mengenai waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Yoav Gallant.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan dalam dokumen mahkamah yang didedahkan pada Jumaat, Pendakwa Raya Karim Khan mendesak hakim yang sedang meneliti waran tangkap yang dimohon terhadap pegawai Israel supaya tidak berlengah-lengah.
“Sebarang kelewatan yang tidak wajar dalam prosiding ini memberi kesan buruk kepada hak mangsa,” katanya.
Khan menegaskan bahawa ICC mempunyai bidang kuasa terhadap warganegara Israel yang melakukan jenayah kekejaman di Wilayah Palestin dan meminta hakim menolak cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh puluhan kerajaan dan pihak lain.
“Adalah jelas dari sudut undang-undang bahawa Mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam situasi ini,” menurut dokumen itu, menolak hujah undang-undang yang berdasarkan peruntukan dalam Perjanjian Oslo dan dakwaan oleh Israel bahawa mereka sedang menjalankan siasatan sendiri terhadap dakwaan jenayah perang.
Israel terus melancarkan serangan genosid di Semenanjung Gaza tanpa menghiraukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang telah memerintahkan Israel dalam keputusan yang mengikat secara sah untuk menghentikan serangan ketenteraan di Rafah, yang mungkin melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.
Israel telah melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Okt lepas, mengorbankan sekurang-kurangnya 40,265 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 93,144 yang lain.
Selain itu, sekurang-kurangnya 10,000 orang dilaporkan hilang dan dipercayai telah meninggal dunia di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Semenanjung Gaza.
Organisasi Palestin dan antarabangsa menyatakan bahawa majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.
Serangan Israel turut menyebabkan hampir dua juta orang ‘dipindahkan secara paksa’ dari seluruh Semenanjung Gaza, dengan sebahagian besar daripada mereka terpaksa berlindung di bandar Rafah, yang kini menjadi pemindahan besar-besaran rakyat Palestin sejak Nakba 1948.
— BERNAMA-WAFA