Sumber KKM

Oleh: Dr. Saarah Huurieyah Wan Rosli & Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamad

PADA 14 Ogos lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO telah mengisytiharkan wabak Mpox sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC) untuk kali kedua. Pengisytiharan pertama dibuat pada 23 Julai 2022, namun ditamatkan pada 11 Mei 2023 apabila bilangan kes menurun. Penyakit Monkey pox atau nama baharunya mpox (cacar monyet) adalah penyakit bawaaan haiwan atau zoonotik yang disebabkan oleh virus monkeypox.

Virus monkeypox dikelaskan dalam keluarga Poxviridae bersama-sama virus variol yang menyebabkan jangkitan small pox atau cacar. Kedua-dua virus mempunyai persamaan genetik hampir 96%. Virus monkeypox pertama kali ditemui dalam monyet makmal pada tahun 50-an. Pada tahun 1970, kes monkeypox pertama melibatkan jangkitan manusia telah dilaporkan. Ia melibatkan seorang kanak-kanak berusia 9 bulan di Republik Demokratik Congo. Virus ini terdiri daripada 2 jenis strain iaitu Clade I (Congo, Afrika Tengah) dan Clade II (Timur Afrika).

Clade I menyebabkan gejala yang lebih teruk dan kadar kematian yang lebih tinggi. Wabak mpox yang terjadi pada tahun 2022-2023, adalah disebabkan oleh strain Clade IIb ( gejala ringan) yang banyak dilaporkan dikalangan pengamal homoseksual. Manakala wabak semasa melibatkan Clade Ib yang juga endemik di Congo. Strain ini dilaporkan lebih mudah merebak, menyebabkan jangkitan lebih teruk dan mempunyai kadar kematian lebih tinggi berbanding Clade II.

Berbanding dengan jangkitan mpox di kawasan dengan endemik, wabak mpox semasa dikaitkan dengan jangkitan HIV dan jangkitan seksual melibatkan golongan gay, biseksual, dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM). Tempoh inkubasi iaitu tempoh antara jangkitan dan gejala bermula adalah 6-13 hari. Gejala awal (1-5 hari) mpox termasuk demam, sakit otot, kelesuan dan juga bengkak di kelenjar limfa. Kemudian, diikuti dengan fasa ruam dalam tempoh 2-4 minggu. Fasa ruam terjadi berperingkat, bermula dengan kulit kemerahan (macules), yang seterusnya membentuk ketulan kecil (papule) yang kemudiannya membentuk lepuh (vesicles) dan bernanah (pustules).

Di akhir fasa ini ketulan atau kudis berisi nanah akan pecah, kering dan menggelupas. Ruam ini boleh terjadi pada kulit, di dalam mulut dan alat kelamin. Bagi wabak mpox semasa, kebanyakkan pesakit tidak mengalamai gejala awal dan ruam terjadi di kawasan alat kelamin. Ruam mpox perlu dibezakan dengan ruam disebabkan penyakit cacar air (chicken pox) atau campak ( measles).

Gambar di bawah menunjukkan perbezaan ruam-ruam tersebut:

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua ruam telah kering sepenuhnya. Jangkitan mpox adalah melalui sentuhan secara langsung dengan ruam, lepuh, kudis pada kulit atau melalui pendedahan kepada cecair respiratori (cecair dari mulut atau hidung) terutamanya semasa hubungan intim.

Ujian makmal adalah penting untuk memastikan pesakit mendapat rawatan awal dan mencegah daripada penularan kepada orang lain. Virus mpox boleh dikesan daripada ruam, lepuh atau kudis melalui ujian makmal rt-PCR. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah telah mempertingkatkan kapasiti makmal untuk menjalankan ujian pengesanan virus ini. Setakat ini makmal yang terlibat dalam pengujian sample adalah Insitute of Medical Research (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam (MKAK).

Kebanyakan pesakit sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan yang khusus. Matlamat semasa rawatan adalah penjagaan ruam, mengurangkan kesakitan dan mencegah daripada komplikasi. Langkah pencegahan termasuk mengelakkan sentuhan fizikal dengan individu yang dijangkiti, mengamalkan kebersihan diri dengan sentiasa mencuci tangan.

Terdapat vaksin mpox seperti JYNNEOS yang disyorkan untuk individu yang berisiko tinggi, seperti mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti dan juga pekerja kesihatan yang merawat pesakit mpox. Vaksin ini juga disyorkan untuk kontak rapat, sebaik-baiknya diberikan dalam masa empat hari selepas pendedahan pertama (dan sehingga 14 hari jika tiada gejala). Bagi mereka yang bercadang untuk melawat negara-negara yang terjejas oleh wabak mpox, dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin terlebih dahulu bagi melindungi diri daripada jangkitan. Kementerian Kesihatan Malaysia setakat ini masih belum bercadang memperkenalkan program vaksinasi khusus untuk penyakit mpox di negara ini.

Penulis, masing-masing  adalah Pensyarah dan Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia