Kesemua lima suspek dibenarkan direman selama lima hari sehingga Sabtu ini.

BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan lima lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan tetak seorang ahli perniagaan dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Raja Uda di sini, pada 17 Mei lalu.

Permohonan reman terhadap suspek berusia lingkungan 28 hingga 53 tahun selama lima hari sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Balqis Roslin.

Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah bagi mendapatkan permohonan dengan berpakai lokap berwarna orang serta diiring anggota polis jam 10.55 pagi.

Mangsa dilaporkan menerima rawatan di sebuah klinik swasta sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya.

MalaysiaGazette difahamkan, kesemua suspek berkenaan ditahan secara berasingan di sekitar Seberang Jaya, Perai dan Bukit Mertajam antara jam 5.30 petang semalam hingga 2.30 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Difahamkan, sebahagian daripada suspek merupakan ahli kongsi gelap dan mereka dikatakan menerima upah daripada seorang lelaki tempaan yang masih bebas untuk menyerang mangsa tersebut.

Kesemua suspek berkenaan dikatakan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, selain polis juga berjaya merampas barang kes termasuk dua bilah parang yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa.

Ini merupakan kali kedua mangsa ditetak dan kejadian pertama berlaku pada Februari lalu yang mana dia diserang menggunakan senjata sehingga terpaksa mendapatkan empat jahitan di bahagian kaki.

Kesemua suspek mempunyai rekod lampau selain ada yang terdiri daripada ahli kongsi gelap.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan C. Tharmalingam mengesahkan tangkapan tersebut.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan suspek bertopeng melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih selepas menyerang seorang lelaki menggunakan parang.

Mangsa dalam keadaan berlumuran darah pada tangan kiri kemudian meminta bantuan orang awam dan diberikan rawatan awal di sebuah klinik sebelum dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast