Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang pejalan kaki maut dilanggar lari di Permatang Tokdik, Padang Serai, kelmarin.

KULIM – Polis meminta saksi kes langgar lari menyebabkan seorang pejalan kaki maut di jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Permatang Tokdik, Padang Serai di sini kelmarin, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.

Jelas beliau, siasatan mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan dan mangsa yang berjalan kaki.

“Kejadian berkenaan menyebabkan mangsa yang masih bujang mengalami kecederaan parah pada kepala dengan kesan luka tumpul.

“Kenderaan yang terlibat dipercayai patah cermin sisi sebelah kiri dan rosak di bahagian lampu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, pihaknya kini masih mengesan saksi bagi memberi maklumat berkenaan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat kerana sehingga kini tiada laporan dibuat oleh pemandu terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nurzety Adawiyah Muhamad di talian 011 3398 2365.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast