Aidil Sharin Sahak (kanan). Foto Facebook Kuching City.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan memikirkan kedudukan selesa pada tangga keempat Liga Super ketika ini, sebaliknya mahu pasukan itu terus fokus untuk kekalkan prestasi.

Selepas menang 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC semalam, Kuching City terus unggul untuk meletakkan mereka di kedudukan keempat liga dengan 14 mata setakat ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan kelab itu masih belum tewas dalam enam perlawanan terdahulu yang mana kali terakhir mereka kecundang adalah di tangan Sabah FC pada Mei lalu.

Ternyata Aidil berpuas hati dengan komitmen yang ditampilkan oleh kesemua pemain terutamanya penjaga gol, Shahril Sa’ari yang beraksi cemerlang mengawal gawang daripada dibolosi meskipun diasak berulang kali oleh pasukan lawan.

“Saya gembira dengan tiga mata yang diperoleh dan pujian diberikan kepada semua pemain atas kerja keras mereka meskipun beraksi dalam keadaan padang yang basah.

“Kita sepatutnya boleh untuk dapatkan tiga, empat gol lagi tetapi nasib baik Shahril juga beraksi cemerlang dapat selamatkan beberapa percubaan KDN.

“Tapi untuk masa sekarang, saya tidak mahu fikir sangat tentang kedudukan liga sebab masih awal dan pasukan kena kekal konsisten selepas ini.

“Apatah lagi, kami pun baru sahaja lima bulan bersama dengan hampir 80 peratus muka baharu, jadi sudah tentu banyak lagi nak kena buat untuk buat dengan baik”, jelasnya.

Sementara itu, penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan meskipun mereka tewas, tetapi aksi yang ditampilkan oleh anak buahnya semakin baik terutamanya daripada aspek serangan.

Tetapi, untuk berada di tangga tercorot ketika ini sudah pasti bukan keputusan yang diinginkan beliau selain berharap pemain terus bermotivasi untuk kembali bangkit.

“Kalau kita lihat banyak perkara positif kalau nak dibandingkan perlawanan-perlawanan lepas. Saya rasa kekalahan malam ini (semalam) akan beri ruang kepada kami untuk perbaiki kekurangan dan harap kita akan dapat sesuatu yang positif untuk aksi akan datang.

“Dari segi serangan saya boleh cakap memang banyak berubah cumanya Shahril memang bermain dengan baik untuk selamatkan gawang Kuching”, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast