BUKIT MERTAJAM – Pergaduhan antara seorang lelaki dengan pemandu bas kilang di persimpangan lampu isyarat di Kampung Juru, Bukit Tengah, di sini, yang tular telah diselesaikan dengan cara baik.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kejadian jam 6.30 petang semalam itu dikatakan tercetus selepas pemandu kereta tersebut menghalang laluan bas kilang ketika keluar dari simpang lampu isyarat lokasi kejadian.
“Susulan itu pemandu bas kilang tersebut membunyikan hon panjang sebelum timbul perselisihan faham antara mereka berdua.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kedua-dua pihak sudah menyelesaikan kes itu secara damai dan pengadu juga tidak mahu meneruskan siasatan.
“Selain itu, video berkaitan insiden tersebut juga telah dipadamkan oleh pemilik Facebook yang memuat naik rakaman terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, polis terkesan dengan video yang dimuatnaik pemilik akaun Facebook yang memaparkan pergaduhan antara dua pemandu ini antara jam 8.10 pagi tadi.
Video berdurasi 34 saat itu memaparkan dua lelaki bergaduh sehingga menghalang lalu lintas. – MalaysiaGazette