Sarlinawati (tengah) menyampaikan sumbangnan kepada pesakit kanser dalam program Jelajah Solo Pejuang Kanser di Program Mahabah Kasih sempena Pameran Pengantin Dunia Raja Sehari Edisi Ke-26 Angsana Mall, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang pesakit kanser berazam mahu membantu lebih ramai wanita senasib dengannya dan memberi semangat untuk mereka terus berjuang dalam hidup.

Aktivis dan pesakit kanser, Sarlinawati Abd Mues, 48, juga mahu membantu mereka yang dijangka hayatnya sudah tidak lama.

Usaha tersebut sudah dan masih digerakkannya dalam program amal menerusi siri jelajah kesedaran yang dilakukannya dalam dan luar negara.

“Walaupun masih belum disahkan bebas kanser, saya tetap mahu membantu pesakit lain menerusi program amal yang dilakukan dalam jelajah solo ini.

“Secara keseluruhannya, tujuan jelajah ini adalah untuk menyantuni para pesakit kanser dalam laluan saya ke seluruh negara.

“Tujuan saya adalah berikan motivasi dengan mengumpulkan data-data pesakit kanser dan seterusnya memberikan bantuan.

“Ini kerana masih ada yang tidak tahu apa itu kanser, di mana nak dapatkan bantuan, macam mana nak buat rawatan kanser dan sebab itulah mereka ini perlukan penerangan penuh tentang kanser,” ujar Sarlinawati.

Terdahulu beliau ditemui pemberita dalam program Jelajah Solo Pejuang Kanser di Program Mahabah Kasih sempena Pameran Pengantin Dunia Raja Sehari Edisi Ke-26 Angsana Mall di sini.

Seramai kira-kira 100 pesakit kanser disantuni pada program berkenaan dengan sumbangan barangan dapur.

Hadir menyempurnakan program berkenaan adalah Ikon Wanita Johor, Faridah P Hamsa, penganjur program, Nor Diana Hashim dan pengarah urusan Kedai Emas Ros Merah, Lai Chern Mun yang merupakan penaja utama.

Mengulas lanjut, Sarlinawati berkata, selepas ini, jelajahnya dirancang akan diteruskan ke Eropah pada tahun depan.

“Selagi ada peluang, saya mahu mendekati lebih ramai pesakit kanser dan memberi semangat kepada mereka,” ujarnya.

Bercerita mengenai dirinya yang juga pesakit kanser, tiga tahun lalu, doktor menyatakan jangka hayatnya hanya tinggal lapan bulan namun tidak patah semangat dan meneruskan rawatan serta sentiasa berfikiran positif.

Menurutnya, dia pernah mengharungi pelbagai dugaan namun bersyukur dapat bangkit semula dan kini menjalani kehidupan lebih bermakna.

“Pada 2017, saya mengalami kecederaan tulang belakang akibat menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan pernah terlantar. Dalam tempoh pemulihan, saya berdepan pelbagai ujian selain kemurungan hingga terpaksa bergantung kepada ubat tidur sehingga ia menjadi antara penyebab saya diserang kanser payudara pada 2021,” katanya.

Sarlinawati berkata, doktor juga mendapati sel kansernya merebak secara agresif dan meramalkan jangka hayatnya antara lapan bulan hingga setahun.

Namun dia tidak berputus asa selain sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dengan melakukan pelbagai kerja amal terutama memberi semangat kepada insan yang menderita kanser.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast