KLUANG – Keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mendakwa Allahyarham mengalami gangguan mistik selama 10 hari sebelum kematiannya.
Abang Allahyarham, Syed Aziz Syed Zain, 65, berkata, antara gangguan mistik itu seperti melihat kelibat lembaga hitam, terdengar suara memanggil-manggil dan tingkap bilik diketuk-ketuk.
Beliau berkata, gangguan itu kerap berlaku menjelang waktu awal pagi sebelum Subuh dan ketara selepas pertandingan pemilihan UMNO Bahagian Kluang.
“Dia muntah keluar cincau (darah) di katil selonggok jadi hitam. Kali ini dia kena pun sama, selepas mesyuarat bahagian dua tiga hari dia kena (gangguan mistik).
“Saya tak tuduh… saya pun ada tanya juga orang-orang berubat kampung dan mereka beritahu memang dia (arwah) kena,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, selepas itu keadaan kesihatan bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan Ketua Wanita UMNO Kluang itu merosot hingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
“Dia rasa seram sejuk, alih alih terketar-ketar. Benda ini kita tak nampak, 10 hari sebelum dia meninggal macam macam benda datang rumah dia.
“Alih-alih depan pintu ada puting beliung yang berpusar pusar di situ sahaja.
“Kebanyakan berlaku ketika Subuh, selepas itu malam dia tengah tidur ada ‘benda’ datang mengacau memanggil-manggil dia, sekali dia keluar tiada,” katanya.
Syed Aziz berkata, hanya Allahyarham yang ‘nampak’ sebelum memanggil ahli keluarga dan pembantunya memberitahu mengenai gangguan tersebut.
Syed Aziz berasa ralat kerana tidak dapat bersama-sama adik bongsunya itu menjelang hari terakhirnya kerana mereka berselisih faham.
Allahyarham katanya, merajuk kerana dimarahinya sedangkan dia bertanggungjawab berikan nasihat yang betul bagi menjaga kebajikan dan keselamatan adiknya itu.
“Saya cakap dengan dia, kau tak boleh terpengaruh dengan orang-orang yang datang kaki bodek, sebab dia orang ini syok lambung engkau.
“Yang mati engkau, dia degil. Saya dengan dia (arwah) memang selalu begitu, macam biasalah.
“Sebelum meninggal dia mengadu dengan saya, kami tak berbual seminggu selepas itu dia meninggal,” katanya.
Ujarnya, dalam tempoh gangguan itu berlangsung pihak keluarga cuba ‘berubat’ dengan mengadakan bacaan doa selamat, Yassin dan tahlil di kediaman allahyarham selain mengupah pusat tahfiz membuat perkara sama.
Pada 31 Julai lalu, Sharifah Azizah, 63, dilaporkan kritikal dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini, akibat pendarahan dalaman.
Pada 2 Ogos lalu, Sharifah Azizah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sebekum meninggal dunia di HEBHK pada 12.25 tengah hari yang sama.- MalaysiaGazette