TEL AVIV – Sebuah balang berusia 3,500 tahun telah dipecahkan secara tidak sengaja oleh seorang budak lelaki berusia empat tahun semasa lawatan ke muzium di Israel.
Muzium Hecht di Haifa memberitahu, pinggan mangkuk itu berasal dari Zaman Gangsa.
Artifak yang sangat utuh itu dipamerkan berhampiran pintu masuk muzium tanpa kaca, kerana muzium percaya terdapat “pesona istimewa” dalam menunjukkan penemuan arkeologi itu.
Bapa kanak-kanak tersebut, Alex berkata, anaknya “menarik sedikit balang itu” kerana dia “tertanya-tanya apa yang ada di dalamnya”, menyebabkannya terjatuh.
Alex juga berkata dia “terkejut” melihat anaknya di sebelah balang yang dipecahkan dan pada mulanya berfikir “bukan anak saya yang melakukannya”.
Bagaimanapun, selepas menenangkan anaknya, Alex memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.
Tetapi reaksi daripada pengarah muzium itu, Dr Inbal Rivlin, agak mengejutkan.
Bercakap terus kepada budak lelaki itu dan ibunya, Rivlin menjemput mereka kembali untuk lawatan berpandu sambil menambah: “Jangan takut, kami tidak mempunyai tuntutan terhadap kamu.”
Muzium Hecht berkata, kanak-kanak itu telah dijemput kembali ke pameran itu bersama keluarganya untuk lawatan yang dianjurkan selepas kejadian itu berlaku beberapa hari lalu.
“Ada keadaan di mana barangan paparan sengaja dirosakkan, dan kes sebegitu dilayan dengan sangat teruk, termasuk melibatkan polis,” kata Lihi Laszlo dari muzium itu kepada media BBC.
Tambahnya, bagaimanapun, dalam kes ini, situasinya berbeza,
Balang itu telah rosak secara tidak sengaja oleh seorang kanak-kanak kecil yang melawat muzium, dan tindak balas akan diberikan sewajarnya.
Pakar dalam pemuliharaan juga telah dilantik untuk memulihkan balang, dan ia akan dikembalikan ke tempatnya “dalam masa yang singkat”.
Bapa kanak-kanak itu Alex berkata, mereka akan berasa “lega” melihat balang itu dipulihkan tetapi meminta maaf kerana ia tidak lagi menjadi barang yang sama.
Muzium itu memberitahu, balang yang pecah itu kemungkinan besar digunakan untuk membawa wain dan minyak zaitun.
Barangan tembikar serupa yang ditemui semasa penggalian arkeologi biasanya pecah atau tidak lengkap apabila digali.
Namun, balang ini utuh menjadikan ia “suatu penemuan yang mengagumkan”, menurut muzium tersebut. – Agensi