PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR -Dua individu ditahan kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu dalam operasi di Sentosa Parade, Batu 7 Jalan Kuching-Serian dan Taman Kitang One, Padawan di Kuching, Sarawak, semalam

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Anak Ata berkata, suspek menggunakan rumah kediaman sebagai tempat penyimpanan dadah dan akan menyerahkan dadah kepada pembeli berdasarkan arahan ketua mereka.

“Suspek memperolehi bekalan dadah daripada ketua sindiket di Kuching,” katanya menerusi kenyataan sambil menambah suspek menerima upah sebanyak RM100 sehari.

Menurut Mancha, keseluruhan syabu yang dirampas berjumlah 33 kilogram itu dianggarkan bernilai RM1,056,000 dan jumlah yang dirampas boleh digunakan untuk 165,000 penagih dadah.

Beliau berkata, selain itu, dua buah kereta, Proton Saga dan Toyota Camry, bernilai RM63,000 turut dirampas dalam operasi tersebut.

“Harta bernilai RM11,780 telah disita di Bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 iaitu membabitkan tiga bentuk cincin emas bernilai RM10,780 dan wang tunai RM1,000,” ujarnya.

Mancha berkata, semakan mendapati suspek lelaki berusia 53 tahun mempunyai rekod jenayah di Bawah Seksyen 379A dan 385 Kanun Keseksaan manakala suspek perempuan berumur 23 tahun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Jelasnya, perintah reman telah diperolehi selama enam hari bermula hari ini untuk kedua-dua suspek. – MalaysiaGazette