Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2024, memandangkan momentum pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua,

FMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, jangkaan baharu itu mencadangkan pertumbuhan berkemungkinan melebihi julat sasaran kerajaan iaitu antara 4.0 hingga 5.0 peratus dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak semula kepada 5.1 peratus.

“Perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta juga disemak naik, mencerminkan trajektori pemulihan ekonomi yang kukuh. Ekonomi Malaysia berada pada laluan pemulihan yang baik, didorong oleh eksport kukuh, penggunaan swasta dan pelaburan.

“Walaupun dalam persekitaran ketidaktentuan global, kami menjangkakan ekonomi akan meneruskan aliran pertumbuhan positifnya pada beberapa bulan akan datang tahun ini,” katanya.

FMM berkata ekonomi berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua, kadar pertumbuhan tertinggi sejak suku pertama 2017, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku pertama, dipacu oleh pemulihan kukuh diterajui eksport, permintaan domestik yang stabil dan peningkatan jumlah ketibaan pelancong.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia telah dipacu oleh sektor eksport utuh dengan eksport sebenar meningkat sebanyak 8.4 peratus pada suku kedua. Pertumbuhan ini telah disokong oleh permintaan kukuh untuk komoditi, elektronik dan produk petroleum.

“Sektor pembuatan juga mendapat manfaat daripada pengembangan kapasiti dan penempatan semula, sebahagiannya disebabkan oleh sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap teknologi China,” katanya.

Sementara itu, FMM berkata inflasi dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini dengan Bank Negara Malaysia mengunjurkan peningkatan yang boleh dikawal dalam unjuran rasmi antara 2.0 hingga 3.5 peratus.

“Ringgit telah meningkat semula berbanding dolar US, mencapai paras tertinggi 18 bulan dan dijangka mengekalkan aliran menaik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast