Menteri Agama, Datuk Dr. Na'im Mokhtar

SEPANG – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani ajaran sesat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAKIM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia malaysia (SKMM) kerana ajaran sesat sudah melular ke platform media sosial.

“(Ajaran sesat) Millah Abraham contohnya menggunakan platform media sosial untuk sebar fahaman mereka, yang itu kita sudah buat kerjasama termasuklah Jabatan Agama Islam negeri.

“Ada negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor telah mengambil tindakan untuk membuat tangkapan kepada pengikut ajaran tersebut,” katanya,

Beliau menyatakan demikian pada Konvensyen Madani bertemakan Ke arah Penghayatan dan Pembudayaan Nilai Dalam Era Digital tahun 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu Mohd Na’im berkara, JAKIM juga bekerjasama dengan pertubuhan Islam luar negara bagi memberi pendedahan terhadap masyarakat dunia bahawa ajaran sesat tersebut sudah menembusi sempadan luar negara.

“Macam (ajaran sesat) Si Hulk ini berasaskan laporan yang kita terima mereka masih berada di New Zealand dan kita tidak boleh nak panggil mereka dan nasihat mahupun buat tangkapan sebab mereka ada di luar negara.

“Tetapi pihak JAKIM ada bekerjasama dengan pertubuhan Islam di New Zealand untuk berikan penjelasan fatwa yang telah dikeluarkan berkaitan dengan ajaran ini supaya masyarakat Islam di sana mengetahui tentang kedudukan Si Hulk ini dan moga dengan kerjasama ini kita boleh bantu masyarakat Islam di New Zealand agar tidak terpengaruh dengan ajaran sesat ini,” katanya. – MalaysiaGazette