Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 19,484 kes jenayah berkaitan komersial dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion, sejak awal tahun ini sehingga 25 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah terbabit adalah bersamaan dengan purata 82 kes sehari melibatkan nilai kerugian harian sebanyak RM6.8 juta.

“Secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun sebanyak lapan peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 21,274 kes.

“Bagaimanapun dari segi nilai kerugian, ia telah meningkat sebanyak 28 peratus kepada RM1.26 bilion berbanding tahun lalu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini.

Dari aspek jumlah pertuduhan, tambah beliau, sebanyak 47 peratus atau 9,231 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah setakat ini bagi tahun 2024.

Katanya, peratusan pertuduhan kes ini adalah 44 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun pada tahun lepas.

“Alhamdulillah, petunjuk statistik memberi natijah kesedaran masyarakat dan dalam usaha membendung kes-kes jenayah komersil, PDRM menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dan mengambil bahagian dalam menyebarkan mesej-mesej pencegahan jenayah komersil.

“Sama-samalah kita berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terhindar dari ancaman jenayah komersial,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast