SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen, di sini, menolak permohonan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful yang mahu menangguhkan hukuman penjara 10 tahun dan beliau akan mula menjalani hukuman tersebut di Penjara Kajang hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Norazlin Othman berkata, tiada keistimewaan atau ‘keadaan khas’ untuk beliau membenarkan penangguhan hukuman penjara tersebut terhadap Syed Shah Iqmal atau lebih dikenali dengan panggilan Da’i Syed.
“Permohonan ditolak. Tiada keadaan khas yang membuktikan rayuan ke Mahkamah Tinggi adalah automatik untuk menangguhkan hukuman,” katanya.
Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada April tahun lepas.
Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lalu mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri.
Syed Shah Iqmal yang berada di kandang tertuduh menangis dan menundukkan kepalanya ketika keputusan dibacakan.
Hakim Norazlin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh atas tuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada pukul 1.35 pagi 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Syed Shah Iqmal turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta sebelum dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022. -MalaysiaGazette