Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2024 perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kemerdekaan negara harus dimaknai dengan perpaduan dan jiwa yang merdeka baharu.

Namun tegas beliau, sambutan itu tidak lengkap tanpa mengimbau kembali hala tuju kebangkitan negara.

“Apa kurangnya di negara kita, apa kurangnya? Kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan, harus semua ini diperbaiki untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin.

“Jangan pinggirkan sesiapa, negara ini mempunyai keupayaan. Sebab itu saya kata semangat perpaduan itu sangat penting dan tidak boleh sama sekali diremehkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa, di sini, hari ini.

Turut hadir beberapa barisan menteri Kabinet lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan gimik penyerahan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2024

Mengulas lanjut, Anwar berkata, apabila menyebut jiwa merdeka, ia mesti melahirkan pimpinan yang mempunyai hasrat dan aspirasi rakyat.

Beliau berkata, ini kerana kemerdekaan negara dicapai kerana kekuatan rakyatnya yang bersatu padu.

Justeru beliau menegaskan, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberikan pembelaan yang secukupnya walaupun berbeza pendapat dalam hal kecil.

“Saya mahu memanfaatkan kemerdekaan ini, Hari Kebangsaan 2024 sebagai tempat kita berpaut antara satu sama lain. Percayalah negara ini hebat kerana hebat rakyatnya.

“Negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast