Karnival keusahawanan dianjurkan di Dewan Komuniti Lestari B&C PPR Hiliran Ampang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha menyemarakkan lagi sambutan bukan kemerdekaan, satu karnival keusahawanan dianjurkan di Dewan Komuniti Lestari B&C PPR Hiliran Ampang, baru-baru ini.

Pengasas Karnival, Alias Abu Bakar dalam kenyatan berkata, program berkenaan bukan hanya sekadar karnival biasa sebaliknya ia merupakan satu inisiatif yang menggabungkan aktiviti keusahawanan, kesihatan, kecantikan, dan promosi produk halal dalam suasana yang penuh dengan keseronokan dan semangat komuniti.

Katanya, dengan penyertaan 45 gerai yang menawarkan pelbagai produk dalam bidang kecantikan, kesihatan, hingga produk halal, program itu jelas menyasarkan untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Antara tarikan utama karnival itu adalah peraduan Miss Hijabi Malaysia 2024 yang menyaksikan tujuh gadis bertanding untuk merebut gelaran duta.

“Dengan sokongan kuat daripada pihak penganjur, karnival itui telah memberikan impak positif dalam membantu golongan berkenaan mengembangkan perniagaan mereka, khususnya dalam sektor Halal yang semakin berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata, pihaknya turut berhasrat untuk menganjurkan seminar keusahawanan untuk mereka yang berminat tetapi memerlukan bimbingan dalam perniagaan dan pemasaran.

Katanya, keseluruhan program berkenaan bukan sahaja sebagai sebuah acara komuniti, tetapi juga satu platform penting dalam memartabatkan keusahawanan tempatan, meningkatkan kesedaran tentang produk halal dan menggalakkan kolaborasi dalam kalangan penduduk setempat.

Dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan RM10, forum kecantikan halal, cabutan bertuah, serta persembahan kebudayaan, karnival itu telah mencapai matlamatnya serta mendapat sambutan meriah. – MalaysiaGazette