Peniaga yang membuka semula premis perniagaan berikutan sebahagiannya ditutup sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di kawasan berkenaan telah dihentikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kehadiran pengunjung di Jalan Masjid India masih belum meriah meskipun operasi menyelamat mangsa tanah jerlus telah ditamatkan semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, terdapat segelintir individu datang ke kawasan tersebut semata-mata untuk melihat secara dekat ‘ground zero’ atau lokasi kejadian tanah jerlus yang yang masih ditutup penghadang putih dan merah.

Dalam pada itu, kesemua peniaga sudah membuka perniagaan masing-masing namun tidak mengharapkan kehadiran mendadak pengunjung.

Peniaga butik barangan Islamik Mahathir Mohamad, 45, berkata, memandangkan baru sehari selepas operasi pencarian mangsa jerlus ditamatkan peniaga memahami mengapa kehadiran pengunjung masih ‘sendu’.

“Ia memerlukan masa minimum dua minggu untuk melihat sambutan kembali meriah seperti sebelum ini.

“Memang menteri dah umum operasi tamat petang semalam  sepenuhnya namun pita kuning larangan melintas masih lagi dipasang.

“Ia menyukarkan pengunjung untuk bergerak bebas khususnya dari bangunan Masjid India ke premis-premis di sini disebabkan pita kuning yang belum ditanggalkan.

Pengunjung terdiri daripada warga tempatan dan asing kembali berkunjung ke Masjid India hari ini.
Pengunjung terdiri daripada warga tempatan dan asing kembali berkunjung ke Masjid India hari ini.

“Ia akan mengambil masa suasana kembali meriah,”katanya.

Malah beliau turut mengeluh kerana kadar sewa bulanan premisnya dinaikkan sebanyak RM5,000 oleh pemilik bangunan daripada RM35,000 kepada RM40,000 bermula 1 September ini.

Mahathir Mohamad, 45 peniaga butik kosmetik Islamik majid India

“Belum sempat menarik nafas lega kerana perniagaan dibenarkan dibuka semula, berita kenaikan kadar sewa pula mengejutkan kami.

“Penutupan perniagaan sejak insiden tanah jerlus belum sempat membuka ruang untuk kami kembali menampakkan keuntungan semula, kini ditambah dengan kenaikan sewa.

“Saya yakin dan berharap pengunjung dapat kembali ramai-ramai memeriahkan lagi suasana dan perniagaan kami di sini yang mungkin mengambil masa seminggu dua lagi,” katanya lagi.

Seorang pengunjung dari Cheras, Zakaria Abu berkata,68, pita kuning yang masih tidak ditanggalkan di lorong laluan ke premis dari bangunan Masjid India itu serba sedikit menyukarkan pengunjung di sini.

Katanya, keadaan itu menyukarkan pergerakan pengunjung untuk membeli belah apatah lagi mereka masih dikehendaki berjalan dan pusing jauh untuk ke seberang jalan.

“Cuba bayangkan kalau pelancong asing pasti dia takkan datang jika ada pita kuning larangan ini. Tiada maknanya kamu suruh perniagaan dibuka sepenuhnya tapi laluan untuk pengunjung masih dihadkan.

“Kalau boleh saya mohon pihak polis tanggalkan pita kuning yang diikat di papan tanda pada laluan dekat bangunan Masjid India ke arah deretan premis perniagaan supaya memudahkan pergerakan keluar masuk pengunjung,” katanya lagi.

Dalam kejadian antara 8.10 pagi hingga 8.20 pagi 23 Ogos lalu, mangsa Vijaya Lakshmi Goli, 48 yang berasal dari negeri Andhra Pradesh, India tertimbus pada kedalaman 10 meter selepas tanah jerlus berlaku di Majid India.

Misi pencarian telah berterusan selama sembilan hari oleh pasukan SAR yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, operasi itu terpaksa ditamatkan sepenuhnya selepas segala usaha yang dilaksanakan pasukan SAR menemui jalan buntu dalam menjejaki keberadaan mangsa jerlus itu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast