Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk melaksanakan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) telah menarik perhatian pelabur antarabangsa, memandangkan potensi dan peluang besar yang bakal dijana.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Malaysia perlu meneroka dimensi baharu dalam perdagangan dan kerjasama antarabangsa.

Katanya, ia bagi membantu syarikat tempatan meluaskan pasaran serta membina modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan global semasa.

“Kedudukan Singapura dan Johor yang berjiran menawarkan potensi ekonomi besar untuk diteroka.

“Dengan kelebihan Singapura dalam akses teknologi dan modal, serta Malaysia yang menyediakan ruang dan tenaga kerja, sinergi antara kedua-dua negara ini mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Menurut Rafizi, Malaysia dan Singapura sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Januari 2024 dengan butiran lanjut perjanjian antara dua negara dijangka dimuktamadkan bulan ini.

Ujarnya, nilai tambah JS-SEZ perlu dipacu oleh sektor swasta memandangkan keputusan pelaburan utama akan ditentukan oleh pemodal teroka dan ekuiti swasta yang akan membuka operasi di zon itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast