KUALA LUMPUR – Semangat untuk menyambut hari kemerdekaan yang ke-67 tahun ini dapat dilihat dengan keterujaan rakyat Malaysia melakukan pelbagai acara dan sambutan yang meriah.
Malah kemeriahan itu dapat dirasai dengan penglibatan semua kaum tidak terkecuali penduduk di Pangsapuri Intan, Taman Bukit Permai di Cheras.
Acara yang dilakukan sejak tujuh tahun itu diserikan dengan pertandingan menghias setiap blok perumahan bagi meningkatkan lagi semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Intan, Saad Musa berkata, program itu untuk meningkatkan lagi persaudaraan antara penduduk di lima buah blok di pangsapuri berkenaan.
Disamping, katanya, ia merupakan acara tahunan dan telah dibuat sejak tujuh tahun lalu.
“Penduduk-penduduk di sini semuanya teruja nak buat persiapan mencantikkan kawasan dengan menghias setiap blok yang didiami sejak awal bulan Ogos lalu.
“Hasilnya inilah yang dapat disaksikan untuk dijadikan kenangan manis dalam menyambut kemerdekaan buat penduduk-penduduk di pangsapuri ini,” katanya.
Wakil penduduk blok dua pangsapuri berkenaan, Saniah Osman, 64, berkata, aktiviti seperti itu dapat meningkatkan lagi semangat dalam menyambut bulan kemerdekaan dalam kalangan rakan dan taulannya di pangsapuri itu.
Malah beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk membantu membuat persiapan dan ia sesuatu yang amat menyeronokkan.
“Kami semua di sini akan bergotong-royong menyiapkan blok masing-masing dengan menggunakan idea dan kreativiti tersendiri.
“Diharap program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang agar semua penduduk khususnya kanak-kanak dapat merasai kemeriahan sekaligus menghargai nikmat kemerdekaan,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Ibrahim Kamal berkata, apa yang dilakukan oleh penduduk sememangnya berbaloi kerana masing-masing menunjukkan usaha dan semangat yang tinggi menghasilkan persembahan terbaik bagi setiap blok.
“Malah kali ini blok kami sendiri menjadi juara dalam program menghias kali ini dan kemenangan itu merupakan kali pertama sejak tujuh tahun ia diadakan.
“Kemenangan dalam menghasilkan karya terbaik ini telah dibalas dengan habuan yang setimpal dan kami penduduk, khususnya di blok dua ini berasa sangat seronok dan teruja untuk menyambutnya lagi pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Belia dan Integrasi Permai, Mohd Zulhami Samsuddin berharap program seumpama itu akan dapat dilangsungkan dengan lebih meriah lagi pada tahun depan.
Katanya, apa yang dilakukan oleh penduduk mampu dijadikan sumber inspirasi kepada orang lain dalam menyemarakkan suasana kemerdekaan agar menjadi lebih ceria.
“Apa yang kami lakukan ini dapat menggalakkan anak muda untuk mewarisi apa yang kami lakukan dan ia secara tidak langsung boleh menimbulkan semangat patriotik dalam diri mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette