GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang sedia menjawab tuntutan perundangan dari Kedah berhubung caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang tuntutan daripada kerajaan negeri berkenaan.
Tegas beliau, sebarang tindakan hanya akan dilakukan mengikut perundangan selepas pihaknya menerima tuntutan berhubung perkara tersebut.
“Jawapan saya sama iaitu terpulang kepada negeri Kedah untuk ambil tindakan sewajarnya dan kita akan respons… kalau cakap kita jawab saja dan kalau masuk mahkamah kita akan jawab dalam mahkamah.
“Akhir kata mahkamah perlu memutuskan tetapi memang ada pelbagai undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan sumber air melibatkan lebih dari satu negara mahu pun negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu Kon Yeow menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Bagi Projek Hotel Warisan 1926 di George Town.
Media semalam melaporkan, Kedah akan membawa isu berhubung tuntutan bayaran caj air mentah daripada Pulau Pinang ke mahkamah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tindakan itu dibuat selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta kerajaan Kedah berbuat demikian supaya ia boleh diputuskan undang-undang.
Difahamkan, kerajaan Kedah menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang yang ketika ini mengambil 84 peratus sumber airnya dari Sungai Muda, Kedah. – MalaysiaGazette