SEBERANG JAYA – Penglibatan pihak berkepentingan awam dan swasta perlu digemblengkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha meningkatkan minat murid dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Ketua Pengarah KPM Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr. Rusmini Ku Ahmad berkata, kerjasama itu perlu dilibatkan secara menyeluruh bermula dari prasekolah sehingga peringkat pengajian tinggi.
“Saya percaya melalui penyaluran maklumat yang tepat berkaitan STEM terutama dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara berterusan akan memberikan fokus STEM dalam lapangan sekali gus memberikan pengalaman terus kepada guru dan murid.
“Kita sedia maklum akan kepentingan Dasar Pendidikan Digital (DPD) dan STEM dalam menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dan berdaya saing di peringkat glokal mahupun global.
“Melalui DPD dan STEM ini, kita sediakan anak-anak dengan ilmu dan pengalaman secukupnya agar mereka mampu meneroka dunia luar yang lebih mencabar serta penuh pancaroba,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Penutupan Konvensyen Projek Inovasi Pendidikan Digital STEM Pulau Pinang (PesInPro 2.0) peringkat Kebangsaan di Hotel The Light, di sini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Abdul Said Hussain.
Mengulas lanjut Rusmini berkata, pihaknya juga menumpukan usaha meningkatkan kecekapan guru melalui latihan sewajarnya bagi memastikan golongan pendidik kompeten untuk membimbing pelajar dalam penggunaan teknologi AI.
“Input DPD juga kita ada enam teras dan semua kita laksanakan untuk memantapkan kemahiran murid, guru dan peringkat kementerian sendiri.
“Kita pastikan guru, murid dan juga pemimpin sekolah menggunakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) kerana ada banyak bahan-bahan digital, pengajaran dan pembelajaran yang boleh guru-guru berkongsi melalui pelantar DELIMa itu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
PM gesa KPM tekankan penguasaan tiga subjek untuk pembangunan negara
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penekanan terhadap penguasaan tiga subjek utama pendidikan iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bagi menyokong pembangunan negara.
Beliau berkata, penguasaan ketiga-tiga subjek itu amat mendesak berikutan perubahan dalam bidang kurikulum dengan kewujudan cabang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga hijau, teknologi digital dan media sosial. – MalaysiaGazette