KUCHING – Sebuah syarikat perladangan didenda berikutan insiden sisa dan serpihan kayu balak yang hanyut serta terapung di Sungai Krangan, Balai Ringin, kira-kira 90 kilometer dari sini baru-baru ini, kata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak hari ini.

NREB dalam kenyataan berkata, syarikat tersebut didapati menggunakan jentolak dan membuka tanah tanpa kawalan di zon penampan di sepanjang sungai dalam ladang mereka, dan zon penampan adalah penting dalam usaha mengatasi masalah alam sekitar.

“NREB sedang melakukan siasatan menyeluruh untuk menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran tambahan dalam zon penampan.

“Jika pelanggaran tambahan ditemukan, kami akan mulakan siasatan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, termasuk membawa mereka ke mahkamah untuk pendakwaan,” menurut kenyataan itu.

Lembaga itu berkata, sebagai usaha pemulihan syarikat tersebut telah diarahkan untuk segera mengalih dan membersihkan semua sisa dan serpihan kayu balak yang menghalang sungai, ia penting untuk memulihkan aliran normal sungai, mencegah kemungkinan banjir dan memastikan Titik Pengambilan Air (WIP) dan mata pencarian penduduk kampung dilindungi.

“Syarikat itu juga dikehendaki memulihkan kawasan terdegradasi dengan menanam spesies pokok asli di zon penampan yang terjejas. Langkah ini perlu untuk memulihkan keseimbangan ekologi dan mencegah kerosakan alam sekitar yang sama pada masa hadapan,” katanya.

NREB berkata, kejadian itu telah memberi kesan ketara terhadap alam sekitar dan sosio-ekonomi dan mengancam Titik Pengambilan Air yang membekalkan air ke loji rawatan air Balai Ringin.

“Sungai yang terjejas bukan sahaja penting untuk bekalan air, tetapi juga berfungsi sebagai sumber pendapatan bagi penduduk tempatan,” tambahnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast