Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Malaysia bersolidariti bersama Mesir yang dituduh oleh rejim Israel sebagai medan penyeludupan senjata untuk pejuang Hamas.

Wisma Putra dalam kenyataannya malam ini berkata, Mesir berhak sepenuhnya untuk menolak tuduhan yang dibuat oleh Israel.

Terdahulu, laporan berita antarabangsa melaporkan, Mesir menafikan dakwaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa senjata-senjata yang digunakan Hamas diseludup kepada menerusi sempadan negara itu.

Menteri Luar Mesir menegaskan, tuduhan Netanyahu itu hanyalah satu cubaan untuk melengah-lengahkan usaha mediasi gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang sedang dijalankan Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Wisma Putra menambah, keangkuhan rejim Zionis Israel yang kerap mengubah syarat-syarat gencatan senjata kekal di Gaza, jelas menjadi punca utama usaha yang dijayakan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat itu masih belum dicapai sehingga kini.

“Hal ini terbukti melalui kenyataan provokatif yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel pada 2 September 2024, di mana ia dikecam keras oleh Malaysia.

Kenyataan tersebut, termasuk tuduhan tidak berasas terhadap Mesir, adalah provokatif, tidak bertanggungjawab, dan tidak wajar,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, Malaysia memberi sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh ketiga-tiga negara itu sebagai pengantara gencatan senjata kekal berdasarkan gencatan senjata tiga fasa yang diusulkan oleh Amerika Syarikat dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024).

Tegasnya, tindakan rejim Zionis Israel itu merupakan sebahagian daripada usaha yang tidak masuk akal dan keji untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan kini merebak ke beberapa bandar di Tebing Barat.

“Malaysia akan terus teguh dalam komitmen kami terhadap perjuangan rakyat Palestin dan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan untuk memastikan kemasukan Negara Palestin ke dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh,” katanya lagi.

Isnin lalu, Netanyahu sekali lagi mengulangi keengganannya untuk menarik tentera Israel dari Koridor Philadelphi, yang merupakan kawasan demilitarisasi sepanjang sempadan Mesir dan Gaza.

Pemimpin zionis itu mendakwa, koridor berkenaan adalah “talian hayat” bagi Hamas untuk mendapatkan senjata.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast