KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diarah merombak semula proses membuat tuntutan faedah termasuk faedah Hilang Upaya Kekal (HUK), kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, arahan itu susulan isu kartel penipuan tuntutan palsu antaranya melibatkan tiga pengamal perubatan yang dikesan beroperasi di sebuah hospital di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas.
Berikutan itu, semua proses tuntutan faedah berkaitan Perkeso di hospital yang dikesan terlibat dalam kartel tuntutan palsu berkenaan dihentikan buat sementara.
“Perkeso melalui siasatan dalaman oleh Bahagian Anti Fraud, Etika dan Integriti (AEFI) pada tahun ini telah membongkar kewujudan kartel berkenaan.
“Berikutan itu, Perkeso bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2 Julai lepas dalam menjalankan Ops Tunjang bagi menumpaskan kartel itu,” katanya dalam sidang media khas berhubung isu berkenaan di sini hari ini.
Sim berkata hingga semalam, Ops Tunjang telah menahan 32 individu yang terlibat dalam kartel tuntutan palsu itu dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM2 juta.
Operasi itu akan diteruskan dengan kerjasama SPRM dan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara bagi mengenal pasti kewujudan kartel berkenaan di hospital lain.
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Perkeso tidak berkompromi dalam perkara ini dan akan memerangi kegiatan kartel sedemikian secara habis-hanisan.
“Peruntukan faedah perlindungan sosial sepatutnya disalurkan kepada pencarum selain waris keluarga yang betul-betul layak serta memerlukan,” katanya.
Media melaporkan dua pegawai perubatan kanan di hospital kerajaan dan seorang doktor pakar di hospital swasta antara 32 individu yang direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso di Pulau Pinang.
Sementara itu, KKM dalam kenyataan berkata pihaknya sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan terhadap tiga doktor kanan yang ditahan agensi penguat kuasa itu di Pulau Pinang kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Perkeso.
“KKM sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung penahanan tiga doktor awam berkenaan.
“Di samping itu, kementerian ini ingin menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warga KKM serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik,” menurut kenyataan itu. – Bernama