Timbalan Menteri Perpaduan, Senator K. Saraswathy ketika berucap dalam Program Dialog : Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Muzium Negara di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Isu-isu berkaitan perlembagaan yang dibangkitkan dapat dielakkan jika masyarakat Malaysia faham akan tiga konsep asas yang menjadi tulang belakang perlembagaan iaitu kontrak sosial, konvensyen Perlembagaan dan diskriminasi perlindungan.

Timbalan Menteri Perpaduan, Senator K. Saraswathy berkata,  tanpa memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan, rakyat tidak dapat memahami kerangka yang terbentuk dalam perlembagaan.

“Isu-isu sensitif ini sering dibangkitkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan terjadi terutamanya pada musim pilhan raya.

“Mereka tahu bahawa perkara tersebut tidak akan berlaku tetapi mereka cuba membangkitkan isu tersebut untuk meraih sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Dialog : Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Muzium Negara, di sini, hari ini.

Sementara itu, Saraswathy berlata, program dialog anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Gabungan Pertubuhan Cina (Huazong) dan Gabungan NGO-NGO India Malaysia (I-25) itu merupakan satu inisiatif bagi memberi pendedahan yang komprehensif mengenai Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah kali ketiga sambutan Bulan Kebangsaan diraikan bersama dengan KPN, dan bagi diri saya program sebegini adalah satu inisiatif yang sangat baik.

“Ini kerana anjuran program ini dapat memberikan satu peluang kepada rakyat Malaysia untuk memahami dengan lebih lanjut sejarah dan justifikasi beberapa peruntukan dalam perlembagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast