SEPANG – Penggubalan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka siap sepenuhnya pada Mei depan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, dokumen penting bagi perancangan ekonomi negara itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen Julai tahun depan selepas dimuktamadkan kerajaan.
Menurut beliau, kementeriannya akan menganjurkan satu siri penglibatan sesi bersama kumpulan fokus di semua negeri di seluruh negara bermula hujung bulan ini.
“Siri penglibatan ini akan dikenali sebagai Madani Mendengar di mana kita akan mengumpulkan pemikir awam, pemain swasta dan orang awam untuk mendengar maklum balas yang membina.
“Saya ingin menjemput semua untuk memainkan peranan aktif dalam proses bagi menentukan kejayaan RMK13 dan potensi Malaysia untuk menjadi kuasa penggunaan dan tidak bergantung kepada kerajaan.
“Ia memerlukan pendekatan seluruh negara di mana kita menjadi pelaburan untuk masa depan negara dengan mengumpul idea dan input kreatif daripada seramai mungkin individu dan pelbagai pihak untuk mewujudkan ruang status quo bebas bagi mendorong kerajaan bergerak ke arah yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Permulaan RMK13 di sini hari ini.
RMK13 akan melibatkan tempoh perancangan ekonomi negara bermula 2026 hingga 2030.
Mengulas lanjut, Rafizi membayangkan RMK13 akan dirangka menyamai RMK1 sebagai dokumen strategik yang serupa tetapi lebih ringkas dan menyeluruh.
Jelas beliau, setiap perkataan dalam menggubalnya mesti komited ke arah dasar tertentu apatah lagi rancangan lima tahun itu bukan satu tugas yang mudah.
“Cabaran lain ialah komitmen terhadap pembaharuan radikal di mana fasa perancangan RMK13 adalah serupa dengan kanvas kosong.
“Kemudian kita bekerja ke belakang untuk memetakan keutamaan item yang ingin kita tetapkan untuk masa depan negara dan yang penting, ia sebenarnya mendapatkan penjujukan dasar yang betul.
“Daripada pelan tindakan yang besar, keutamaan sekarang adalah untuk melancarkan pembaharuan mengikut saiz poket kerajaan yang memberi ruang kepada kerajaan untuk bergerak dan menyesuaikan diri dengan maklum balas rakyat kita,” katanya. – MalaysiaGazette