KUALA LUMPUR – Kejohanan Debat Antarabangsa Dunia 2024 buat pertama kalinya diadakan oleh Intertext Education di Kampus HELP University Subang 2, baru-baru ini.
Kejohanan debat berprestij ini disertai enam negara iaitu Korea, Malaysia, China, Singapura, Thailand, dan India, menghimpunkan minda-minda muda terbaik seluruh Asia untuk mempamerkan bakat debat.
Kejohanan ini diadakan dengan kerjasama New Era Academy, Asia Debating, Luna Academy, Speech & Debate India, dan The Rhetoric Collective – institusi-institusi debat antarabangsa.
Debat ini menampilkan model pertandingan debat hibrid yang inovatif, meningkatkan kebolehcapaian kepada lebih banyak negara untuk menyertai.
Ketua hakim yang hadir termasuk Penceramah Terbaik Asia Regional 2013, Juara Debat Universiti Cambridge 2022, dan salah seorang hakim ketua yang dilantik untuk Kejohanan Debat Universiti Dunia yang akan datang di Panama City pada tahun 2025.
Pengasas The Debating International, Daryl Isla berterima kasih kepada Intertext Education dan Malaysia kerana sudi untuk menjadi tuan rumah kejohanan kali pertama ini.
Pasukan Malaysia muncul sebagai pencabar utama, merangkul gelaran Penceramah Terbaik Keseluruhan untuk kategori Junior Dunia bagi 2 daripada pendebat tempatan dengan seorang lagi pendebat berjaya meraih Penceramah Terbaik ke-2 untuk kategori Dunia.
Selain itu, pasukan Malaysia mara ke perlawanan akhir kedua-dua kategori, mengukuhkan reputasi negara sebagai kuasa besar dalam debat antarabangsa.
Kejohanan tahun ini memberikan peluang unik kepada pelajar untuk menerokai format debat yang terkenal di peringkat antarabangsa, format debat British Parliamentary, yang jauh berbeza daripada format debat sekolah menengah Malaysia.
The Debating International berhasrat untuk terus mengembangkan potensi pasukan debat tempatan, memupuk perkembangan pemikiran kritis, komunikasi, dan penyelesaian masalah yang lebih baik, serta pemberdayaan belia Malaysia, daripada pelbagai latar belakang dan komuniti.
Dengan menekankan pembangunan pemimpin untuk komuniti global, The Debating International komited untuk menyediakan belia Malaysia untuk berjaya dalam dunia di mana teknologi dan hubungan manusia memainkan peranan penting. – MalaysiaGazette