SHAH ALAM – Dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin merupakan kenangan manis buat Atiyah Khalidah Kamal Ariffin.
Atiyah adalah antara graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Fakulti Pengurusan Perniagaan (Insurans) yang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 di UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Menurut Atiyah, dia memang mengimpikan untuk menjadi salah seorang penerima Anugerah Naib Canselor, dan namun mengakui kejayaan itu bukan mudah kerana pelbagai cabaran perlu dilaluinya.
Beliau bertuah kerana memiliki ibu yang menjadi pendorong utama, pengalaman selaku Presiden Program Insurans (RAIS) pada sesi 22/23 banyak membantunya untuk lebih matang ketika mengharungi pengajian sekalipun beberapa kali berdepan ujian sebelum menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Fokus ketika dalam kelas sangat membantu, selain sokongan daripada ibu bapa yang menjadi kekuatan saya. Mereka telah memberi pendidikan dan kasih sayang yang cukup,” katanya ketika ditemui di Dewan Agung Tuanku Canselor, DATC UiTM Shah Alam.
Anak kedua daripada tiga beradik itu kini sedang berkhidmat di salah satu syarikat insurans terkemuka dunia dan berazam untuk terus cemerlang dalam bidang yang diceburinya.
Atiyah berpesan kepada mahasiswa supaya sentiasa mendekati pensyarah untuk meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri sekali gus meraih keputusan cemerlang. – MalaysiaGazette