Logo Tenaga Nasional Berhad

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan helah individu atau pihak ketiga yang mendekati pengguna secara terus bagi sebarang tujuan pembayaran bil elektrik atau beri diskaun bil elektrik.

Menurutnya, TNB tidak pernah melantik ejen persendirian untuk menghubungi pengguna sebagai wakil bagi urusan pembayaran bil termasuk melalui panggilan telefon, WhatsApp dan media sosial.

TNB merujuk kepada laporan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 35 peratus.

Namun, TNB tidak pernah menawarkan diskaun atas jumlah bil elektrik.

Katanya, sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan pelanggan, TNB menyediakan pelbagai saluran pembayaran bagi memudahkan pengguna.

Pengguna boleh membayar bil elektrik mereka melalui saluran pembayaran rasmi berikut:
• Melalui aplikasi mudah alih myTNB yang boleh dimuat turun secara percuma.
• Secara dalam talian menerusi portal myTNB (www.mytnb.com.my).
• Saluran alternatif seperti perbankan dalam talian (online banking), JomPAY, e-Wallet,
pembayaran bulanan secara direct debit atau autopay.
• Saluran pembayaran fizikal seperti Kios dan kaunter pembayaran Kedai Tenaga serta
agensi kutipan TNB seperti rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven, Pos Malaysia dan
sebagainya.

Jelasnya, untuk pengguna yang mempunyai tunggakan bil elektrik, semua pembayaran tertunggak tersebut tetap perlu dibuat melalui saluran pembayaran rasmi TNB seperti di atas.

Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, Facebook TNB Careline atau X @Tenaga_Nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast