Sabariah Saidan

KUANTAN – Sebanyak 71 buah taska dilaporakan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang sehingga 1 September lalu.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, sebanyak 19 taska telah lulus perakuan oleh jabatan berkenaan.

“Pada ketika ini, hanya 114 taska di Pahang yang disahkan berdaftar dengan JKM.

”Manakala sebanyak 30 diberhentikan operasi, tujuh diberi notis peringatan, satu notis tindakan Lak (tutup) manakala 14 lagi dalam proses penguatkuasaan atau siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi Jumaat lalu, anak sulung pasangan itu, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal.

Pada 27 Oktober 2022, Haura Najia Mohd Kamaruddin Helsa, 6 bulan, dilaporkan tidak sedarkan diri oleh pengasuh di sebuah Taska selepas dibedung lebih 10 jam dan diberikan susu.

Selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Melaka, bayi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8.54 pagi di Hospital Melaka.

Menurut Sabariah, sejak 1 September lalu, kerajaan negeri melalui JKM telah menubuhkan pasukan Pasukan Petugas Pemantauan dan Pemutihan Taska tidak berdaftar bagi mengelak berlakunya kes penderaan dan pengabaian

”JKM berusaha memastikan semua taska yang beroperasi di Pahang mematuhi peraturan dan berdaftar mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308],” katanya. – Malaysiagazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast