SERDANG – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju hab halal global dan sebarang kenyataan bertentangan adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan realiti sebenar.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, Malaysia akan terus berusaha untuk mengekalkan sebagai hab halal dan mahu dikenali di seluruh dunia dengannya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang juga Naib Pengerusi DAP yang mendakwa cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol akan menambah beban kepada pengusaha perniagaan termasuk ribuan pengusaha restoran Melayu.
Mohamad ditemui pada sesi Media Tour Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya dan menganggap ia kenyataan peribadi Teresa.
“Pandangan seperti itu akan berlalu seiring berlalunya hari-hari. Yang penting, Malaysia terus diiktiraf sebagai hab halal di peringkat global,” ujarnya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan kenyataan Teresa tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH).
Beliau juga menasihati pemimpin politik untuk menyuarakan kebimbangan atau cadangan mereka dalam mesyuarat yang sesuai agar isu-isu tersebut dapat dikaji dengan teliti.
Sementara itu, Mohamad turut memaklumkan MAHA 2024, yang berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September ini dan disertai oleh 16 negara termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun, Thailand, Brunei dan Indonesia.
Pameran dijangka memperkukuh kerjasama dan pertukaran teknologi dalam sektor pertanian dan agropelancongan antara negara-negara terbabit.
MAHA 2024 merupakan platform terbesar untuk peladang, nelayan dan usahawan dalam memperkenalakan produk masing-masing selain menyediakan ruang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui pameran teknologi dan inovasi terkini. – MalaysiaGazette