Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tapak pameran selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2024.

CYBERJAYA – Semua pihak, penjawat awam dan swasta, perlu menggerakkan perubahan segera daripada segi kaedah jika mahu menjadi penyumbang utama dan tenaga penggerak untuk menjayakan Malaysia baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka tidak lagi boleh mengekalkan pelan 20 tahun lalu sekiranya ingin mencapai status negara maju.

“Negara di era pasca normal menuntut keadah berbeza, tak mungkin kita kekalkan pelan 20 tahun lalu untuk mencapai kemajuan 10 tahun akan datang.

“Apa yang disebut era pasca normal itu menuntut satu perubahan yang pesat, sama juga teknologi dengan AI (kecerdasan buatan), itu memungkinkan perubahan dalam sekelip mata,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, hari ini.

Anwar berkata, jika semua perkara yang dibangkitkannya itu diberi penekanan, beliau yakin konsep Malaysia Madani mampu memberi makna jelas kepada ekonomi yang prihatin serta mampan kerana ia bukan sekadar daripada sudut keuntungan dan kelestariannya sahaja.

“Kemampanannya mengambil kira aspek yang menyeluruh untuk mengangkat martabat insan itu sendiri, dimensi keinsanan dalam pembangunan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, beliau mengakui sejak kerjasama awam-swasta (PPP) dilaksanakan pada 1981, pelbagai pelan dilakar, namun banyak yang perlu diperbaiki daripada segi tatakelola.

Katanya, daripada 510 projek PPP yang dilaksanakan setakat ini, sebahagian besar mengikut kaedah yang ketat, namun ada juga yang menunjukkan kelemahan kerana tidak diselaraskan mengikut kaedah ditetapkan.

“Soal sumbangan PPP, tidak dipertikai, umapamanya sumbangan lebih RM50.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan (mewujudkan) peluang pekerjaan kepada lebih 600,000 (orang), itu angka menyenangkan dan membanggakan.

“Tetapi percayalah angka itu tidak mampu memukau kita dan melonjak negara ini sebagai negara maju, angka ini hanya sebagai permulaan,” katanya. – MalaysiaGazette