KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan kenyataan terbaharu Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyokong usaha Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk mempromosi pensijilan halal sebagai percubaan lemah untuk melepaskan diri selepas berdepan siasatan polis.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, kenyataan terbaharu itu jauh bercanggah dengan kenyataan asal Teresa yang secara terang-terangan mengkritik cadangan mewajibkan pensijilan halal dan menyifatkannya sebagai beban tambahan kepada perniagaan.
Malah, beliau turut menyifatkan Setiausaha Publisiti DAP itu kini cuba ‘menyelamatkan diri’ dengan memutar belit kenyataan asal untuk mengurangkan kontroversi yang timbul.
“Beliau kini sepertinya amat takut untuk didakwa kerana jika disabitkan kesalahan ini akan boleh menghilangkan jawatan Ahli Parlimennya selain memberikan imej semakin negatif kepada partinya, DAP,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Razali turut mempersoalkan berkenaan dakwaan Teresa kononnya hanya menyuarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum di kawasan Parlimen yang diwakilinya dalam mengutarakan isu pensijilan halal.
Dakwanya, kenyataan Teresa itu satu percubaan yang lemah dan tidak berasas untuk menjustifikasikan tindakan beliau menentang cadangan pensijilan halal mandatori.
“Hakikatnya, dalam kenyataan asal beliau, tiada sebarang bukti atau petunjuk yang menunjukkan isu tersebut dirujukkan kepada pengundi atau rakyat yang diwakilinya.
“Sebaliknya, kenyataan Teresa Kok kelihatan lebih kepada mencerminkan pendapat beliau atau parti beliau sendiri,” katanya.
Malah, tambah Razali, jika benar sekali pun ia adalah suara hati rakyat, isu-isu sensitif yang menyentuh 3R (agama, kaum dan raja) seperti pensijilan halal perlu dibawa melalui saluran yang betul, bukan membuat kenyataan terbuka yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Ringkasnya, kenyataan terbaru Teresa Kok ini hanya menunjukkan percubaan terdesak beliau untuk menutup ruang daripada didakwa atas kenyataan asalnya yang menentang cadangan pensijilan halal mandatori.
“Saya setuju Teresa Kok wajar didakwa di mahkamah dengan secepatnya kerana kenyataannya ini telah menyentuh sensitiviti agama, mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini,” katanya.
Selepas dikritik banyak pihak termasuk beberapa laporan polis telah dibuat, Teresa dalam kenyataan terbaharu berhubung kontroversi pensijilan halal berkata, kenyataan asalnya disalah erti dan telah mendatangkan banyak salah faham sesetengah pihak.
Katanya, beliau menyokong usaha kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman. – MalaysiaGazette