ALOR GAJAH – Polis tidak menerima sebarang laporan kes penderaan terhadap anak sendiri oleh pengasuh wanita yang disyaki menyebabkan kematian bayi lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, malah setakat ini, pihak belum memanggil suami suspek berusia 30-an untuk membantu siasatan.
“Setakat ini kita tidak menerima laporan kes dera oleh suspek berusia 34 tahun terhadap tiga anak-anaknya berusia dua, enam dan lapan tahun.
“Selain itu, suaminya juga tidak dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ringkas kepada pemberita di sini hari ini.
Kelmarin, MalaysiaGazette melaporkan bapa bayi, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, mendakwa dalam kejadian 8 pagi itu, pengasuh berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka anaknya dengan bantal.
Perbuatan itu dilihat menerusi CCTV Taska selepas pengasuh berkenaan meminta isterinya datang untuk mengambil bayi sulungnya itu kira-kira pukul 9 pagi, sejam selepas kejadian itu.
Sebaik tiba, bayinya itu sudah dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Susulan itu, pengasuh wanita terbabit direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini sehingga 13 September ini. – MalaysiaGazette