SK Kampung Maju Jaya di Johor Bahru antara sekolah yang ditutup hari ini selepas terdedah dengan pencemaran bau kimia

JOHOR BAHRU – Tiga sekolah di Johor ditutup hari ini selepas terdedah dengan pencemaran bau kimia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, ia melibatkan dua buah sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.

Katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya yang ditutup semalam masih lagi ditutup hari ini.

“Sekolah terbabit akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, SK Kampung Maju Jaya yang mempunyai 1,024 pelajar dan 64 guru ditutup pada pukul 1 petang sebagai langkah keselamatan.

Penutupan itu selepas seramai 21 murid SK Kampung Maju Jaya mengalami loya, sesak nafas dan pening kepala akibat terdedah dengan pencemaran bau.

Menurut Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan, murid berkenaan adalah yang masuk pada sesi pagi persekolahan berusia antara 10 hingga 12 tahun.- MalaysiaGazette