Dua PATI wanita yang berjaya ditahan Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya melumpuhkan satu lagi cubaan penyeludupan pendatang asing tanpa izin ( PATI) dengan menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram itu di perairan negara.

Bot itu berjaya ditahan pada kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Pantai Tanjung Rhu di daerah Kuala Langat pada sekitar pukul 1.50 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang terdapat satu sasaran mencurigakan telah dikesan bergerak laju di perairan Kuala Langat.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 telah diatur gerak pantas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Badan bot Maritim yang rosak akibat dilanggar oleh tekong dengan sengaja.

“Setiba di lokasi, pasukan operasi menemukan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran memecut laju dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Rhu dan berlaku adegan kejar buru di antara bot suspek dan aset Maritim Malaysia selama 35 minit.

“Suspek cuba meloloskan diri, tekong dengan sengaja melanggar bahagian sebelah kanan bot ronda Maritim Malaysia sehingga menyebabkan kerosakan pada badan bot dan palang penghadang enjin, sebelum tekong terjun ke laut bersama beberapa PATI lain dan berenang ke kawasan cetek hutan paya bakau berdekatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun tambah beliau, kecekapan anggota Maritim Malaysia berjaya mengepung dan menghentikan bot suspek.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua PATI wanita masing-masing berusia 28 dan 45 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri berada di atas bot tersebut.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua PATI di lokasi kejadian, kira-kira lebih 20 penumpang yang menggunakan perkhidmatan bot terbabit untuk pulang ke negara jiran telah melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum insiden pelanggaran berlaku.

“Bot fiber serta dua suspek terbabit telah ditahan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” tegasnya lagi.

Menurut beliau Maritim Malaysia akan sentiasa memantau pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.-  MalaysiaGazette