Tertuduh Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas dakwaan menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) 6 September lalu.

ALOR GAJAH – Prosiding pendakwaan pengasuh wanita yang dituduh menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) minggu lalu di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini berlangsung dengan penuh emosi.

Terdahulu, tertuduh Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, tiba di pekarangan mahkamah menaiki trak polis pada pukul 9.40 pagi dalam keadaan sugul.

Kira-kira 10 minit kemudian, tubuh kecil ibu anak tiga berusia 2,6 dan 8 tahun itu diiringi anggota polis membawanya masuk ke dalam kamar mahkamah.

Prosiding dihadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee itu bagi membolehkan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, tertuduh menangis teresak-esak di kandang tertuduh menyebabkan suaminya berusia 37 tahun dan bapanya seorang imam tidak dapat menahan air mata.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Ketika ini, tertuduh cuba membetulkan kedudukan kakinya untuk berdiri dalam keadaan badan yang semakin longlai.

Sebelum dibawa keluar dari kamar mahkamah, Nor Afifah sempat dipeluk erat bapa dan suaminya yang beberapa kali cuba menenangkannya disertai tangisan mengundang hiba suasana.

Mengikut pertuduhan, Nor Afifah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian bayi lelaki, Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di sebuah Taska di Taman Kelemak Utama antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi 6 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 13 November ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia. – MalaysiaGazette