KUALA LUMPUR – Mas kahwin yang digunakan dalam pernikahan ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) adalah wirid kumpulan Al-Arqam yang pernah difatwakan sebagai ajaran sesat pada tahun 1994.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Abdullah berkata demikian mengulas mengenai video tular pernikahan ahli kumpulan tersebut di media sosial sejak kebelakangan ini.
“Aurad Muhammadiah itu satu wirid yang telah pun diputuskan oleh fatwa itu yang diamalkan jemaah Al-Arqam dulu sudah ada fatwanya di peringkat negeri dan kebangsaan yang difatwakan sesat. Adakah ia masih diamalkan atau tidak saya tidak dapat pastikan,” katanya.
Menerusi video yang tular, juru nikah yang menikahkan ahli GISBH menyebut mas kahwin sebagai ‘satu pusingan Aurad Muhammadiah’.
Ditanya mengenai sebahagian anak-anak di pusat amal GISBH yang diserbu baru-baru ini didapati ber ‘bin’ kan Abdullah, Luqman berkata, perkara berkenaan perlu disahkan menerusi dua peringkat.
Jelas beliau, isu nasab perlu disahkan oleh Jabatan Agama Islam yang mendaftarkan pernikahan sebelum ke peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kita tengok pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Perkahwinan di jabatan agama Islam dan mahkamah syariah. Mereka (pihak ini) akan menentukan perkahwinan itu sah atau tidak itu peringkat pertama. Barulah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) untuk lihat kedudukan anak-anak itu yang di bin kepada siapa,” ujarnya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengenal pasti sebahagian ibu bapa daripada 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal kendalian GISBH.
Bagaimanapun semua individu masih belum tampil untuk diambil keterangan.
Pada 11 September lalu, seramai 392 kanak-kanak dan remaja diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.- MalaysiaGazette