Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan isterinya antara ditahan polis ekoran siasatan rumah amal kendalian syarikat itu didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.

Mereka ditahan dalam Op Global dan disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Polis dijangka mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu menurut laporan berita yang memetik sumber, difahamkan setakat ini seramai 19 orang termasuk pemimpin jemaah itu ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa lokasi.

Selain CEO terbabit, turut ditahan isterinya serta dua anaknya bagi membantu siasatan. Turut difahamkan, individu lain yang ditahan adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Sumber berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 12 lelaki dan tujuh wanita berusia 30 hingga 65 tahun.

Terdahulu polis mengesahkan lima suspek yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam perjalanan ke Thailand dengan menggunakan kenderaan rekreasi (motorhome) berlogo GISBH direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap semua mereka berusia 30 sehingga 41 tahun itu dilakukan sebaik permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Mereka direman bagi melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan polis terhadap syarikat berkenaan dan reman bermula hari ini sehingga Rabu ini.

Sebelum ini polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

Razarudin sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast