KUALA LUMPUR- Boost Bank memperkenalkan perkhidmatan perkhidmatan Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) awal bulan ini melibatkan dua produk utama iaitu pinjaman berjangka (term loan) dan kredit pusingan (revolving credit).
Bank digital tempatan itu berkata, penyelesaian Pembiayaan PKS Boost Bank menawarkan proses permohonan mudah yang melibatkan dokumentasi minimum sahaja.
Ia juga tiada yuran tersembunyi dengan jumlah pembiayaan dari RM50,000.
Katanya, Kemudahan Pinjaman Berjangka menawarkan tempoh sehingga 36 bulan dan tidak mengenakan sebarang yuran penyelesaian awal.
Kemudahan Kredit Pusingan pula menyediakan akses pantas kepada dana, memperkasakan perniagaan untuk bertindak balas secepatnya terhadap peluang dan cabaran dengan keyakinan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, Pembiayaan PKS oleh bank tersebut adalah usaha berterusan syarikat untuk membina asas bagi ekosistem kewangan digital bersepadu.
“PKS bukan sahaja merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, tetapi juga merupakan enjin inovasi, pertumbuhan dan juga daya tahannya.
“Ini bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi juga menjadi rakan kongsi kepada PKS untuk memacu kejayaan jangka panjang mereka dan menyumbang kepada transformasi ekonomi Malaysia yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, produk-produk berkenaan direka untuk disesuaikan ke atas keperluan kewangan unik setiap PKS, dan bukan berdasarkan pendekatan seragam.-MalaysiaGazette