Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berucap ketika merasmikan Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 Tahun 1446 Hijrah/ 2024 Masihi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 Tahun 1446 Hijrah/ 2024 Masihi akan melibatkan 92 peserta yang mewakili 71 negara berbanding 52 negara, tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dari jumlah itu, seramai 53 peserta termasuk 39 lelaki dan 14 perempuan dalam kategori Tilawah Al-Quran.

“Manakala 39 peserta lagi merangkumi 26 lelaki dan 13 perempuan akan menyertai bagi kategori Hafazan al-Quran 30 Juzuk,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MTHQA di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

MTHQA ke-64 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berlangsung di WTCKL selama lapan hari dari 5 hingga 12 Oktober ini.

Majlis Pembukaan MTHQA ke-64 yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Oktober 2024 (Sabtu) jam 8.55 malam.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah perkenan untuk berangkat dan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pada jam 8.55 malam 12 Oktober.

Mohd Na’im berkata, kesemua 92 peserta itu hasil daripada sesi saringan kelayakan peserta MTHQA ke-64 telah selesai dijalankan pada 29 April hingga 5 Mei dan 21 hingga 27 Julai lalu secara atas talian.

“Sesi saringan melibatkan penyertaan 120 orang peserta daripada 89 negara.

“Mereka dinilai barisan Jemaah Hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu luas dalam bidang al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menghantar seramai empat peserta, masing-masing dua dalam kategori Tilawah Al-Quran dan dua lagi Hafazan Al-Quran.

“Dua peserta Tilawah Al-Quran iaitu Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu.

“Manakala dua peserta Hafazan al-Quran iaitu Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Kedah dan Putri Aminah Mohd Hanif dari Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran MTHQA secara tahunan oleh Kerajaan Malaysia juga merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui MTHQA, agenda pembangunan ummah dan pembinaan generasi Al-Falah yang selari dengan aspirasi Malaysia Madani sebagaimana digagaskan oleh Perdana Menteri dapat terus diperkasakan,” katanya.

Sementara itu, MTHQA ke-64 menawarkan pelbagai hadiah kepada pemenang dalam kejohanan itu, termasuk johan bagi Qari dan Qariah bagi kategori Tilawah Al-Quran akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000 tajaan Kerajaan Malaysia serta hadiah iringan dan sijil.

“Naib Johan Qari dan Qariah pula akan membawa pulang wang tunai daripada Kerajaan Malaysia sebanyak RM30,000 serta hadiah iringan dan sijil.

“Tempat ketiga pula, Qari dan Qariah akan membawa pulang ganjaran wang tunai RM20,000 serta hadiah iringan dan sijil, manakala hadiah saguhati pula layak menerima wang tunai RM3,000.

“Setiap peserta akan menerima cenderamata,” katanya.

Katanya, johan lelaki dan wanita bagi kategori Hafazan Al-Quran pula akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000 serta hadiah iringan dan sijil.

“Bagi Naib Johan lelaki dan wanita pula akan menerima RM30,000 serta hadiah iringan dan sijil.

“Manakala tempat ketiga lelaki dan wanita, akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 dan sijil.

“Hadiah saguhati turut diberikan dengan wang tunai sebanyak RM3,000. Setiap peserta juga akan menerima cenderamata,” katanya.

Katanya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memberikan sumbangan tajaan barangan emas YaPEIM Gold kepada Johan Qari dan Qariah bagi kategori Tilawah Al-Quran serta Johan Kategori Hafazan Lelaki dan Wanita.

“Tajaan hadiah ini diharap dapat meningkatkan motivasi dan semangat para peserta untuk memberikan prestasi terbaik mereka dalam MTHQA Ke-64.

“Ia juga memperlihatkan wujudnya kolaborasi bersama pihak luar untuk bersama-sama menyumbangkan peranan bagi meningkatkan lagi prestij penganjuran MTHQA,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here