KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa semua pihak rentas politik perlu ambil kesempatan bersama kerajaan Madani untuk mengukuhkan pemulihan dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara ketika ringgit kini menjadi mata wang paling cemerlang di dunia.
Analisis pakar ekonomi dan kewangan bahawa faktor ringgit mengukuh berbanding sejumlah matawang utama dunia seperti USD dan Euro dan turut menjadi mata wang paling kukuh di rantau Asia termasuk bandingan dengan mata wang Singapura akan memberi banyak kelebihan kepada ekonomi Malaysia terutama kepada import negara.
Syarikat Malaysia yang berurusan dengan perniagaan luar dengan dolar akan mendapat kelegaan besar daripada pengukuhan ringgit, kata Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Ternyata beberapa langkah kerajaan Madani yang berkaitan dengan mengurangkan defisit belanjawan negara melalui rasionalisasi subsidi, polisi ke arah transisi guna tenaga mapan serta pelan industri induk yang baru telah memberi kesan positif kepada pelabur dan dengan itu mengukuhkan nilai ringgit.
“Nilai ringgit ternyata mengukuh dan tertinggi dalam beberapa bulan ini membuktikan bahawa Malaysia mampu kembali sebagai negara ekonomi paling maju dan mapan,” katanya dalam kenyataan.
Penurunan kadar faedah Federal Reserve US juga telah menyebabkan nilai dan pertukaran mata wang di negara-negara di dunia melalui perubahan bergantung kepada asas ekonomi (economic fundamentals) masing-masing dan ternyata asas ekonomi Malaysia sangat kukuh.
“Walaupun soal mata wang bukan satu-satunya faktor pengukuh ekonomi akan tetapi ia adalah antara elemen utama dalam ukuran status ekonomi sesebuah negara. Nilai ringgit memberi kesan kepada nilai import dan pembayaran pinjaman luar negara,” kata Mohd Azmi.
Hasil beberapa langkah kerajaan yang cermat dan bijak telah meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia, yang menyebabkan pembelian ringgit di pasaran matawang meningkat, katanya.
“Oleh demikian, kami menyeru agar semua pihak, parti politik, pakar ekonomi, wakil rakyat, swasta , organisasi sivil, tokoh agamawan dan ilmuan, mengambil kesempatan bekerjasama membantu kerajaan meneruskan proses pengukuhan pertumbuhan ekonomi negara yang maju dan mapan.
“Kami berpendirian adalah tidak wajar kepentingan politik yang sempit mendahului keutamaan mengukuhkan ekonomi negara. Polemik dan persaingan politik tidak boleh mengganggu keutamaan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.
Kebijaksanaan dan kematangan politik perlu diamalkan agar Malaysia terus bergerak kembali sebagai negara cemerlang di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan politik dunia, kata Mohd Azmi.
“Kami juga menyarankan penglibatan Malaysia yang merancang menganggotai BRICS harus diteliti agar manfaat maksima diperolehi.
“Malaysia sewajarnya bergerak ke arah kerangka ekonomi Islam dengan meneliti semula matawang yang terikat kepada sistem pasaran matawang dunia. Matawang dan ekonomi dunia yang bersifat spekulatif tidak akan menjamin ekonomi negara.
Sementara FDI (pelaburan luar langsung), katanya, adalah penting, mengukuhkan pelaburan domestik juga sangat penting. FDI yang sering terikat dengan perjanjian perdagangan, samada bersifat unilateral mahupun multilateral, mesti menjamin kepentingan negara tidak terjejas
Kerajaan perlu memastikan dasar dan peruntukan kewangan untuk mengukuhkan industri dalam negara, terutama SME dilaksanakan dengan efisien dan berkesan, katanya. – MalaysiaGazette