KOTA BHARU – Empat individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Permohonan reman ke atas kesemua individu berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini hari ini.
Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kesemua suspek lelaki warga tempatan itu tiba di kompleks mahkamah berkenaan pada 8.40 pagi ini.
Pada 11 Sept, polis melalui Op Global menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH. – BERNAMA