Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros

KLUANG – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diharap tidak terpedaya dengan taktik kotor Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan calon BN itu telah menjalani proses pemilihan dan tapisan yang ketat.

Jelasnya, ini bagi memastikan calon yang diputuskan pucuk pimpinan benar-berar bersih.

“Andai mana-mana nama calon mempunyai rekod kesalahan lampau dan sebagainya, pasti ibu pejabat UMNO akan dimaklumkan mengenainya.

“Sudah tentulah nama tersebut tidak akan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan sebagai calon untuk mewakili parti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin dalam satu ceramah di kempen PN di sini malam tadi, meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard mendakwa Syed Hussien terbabit dalam satu kes gaduh dan mencederakan sehingga ditangkap polis.

Noor Azleen berkata, proses pemilihan calon selepas dilakukan semakan latar belakang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi serta dibuat secara menyeluruh dan sangat ketat.

“Agensi dan jabatan terlibat termasuklah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi, Imigresen, daftar mahkamah dan lain-lain.

“Proses ketat dan menyeluruh ini bagi memastikan calon yang diputuskan pucuk pimpinan betul-betul bersih. Syed Hussein mampu menjadi wakil rakyat terbaik, efektif dan berkesan,” ujarnya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Syed Hussien dengan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast