NHCCE 2024 anjuran HRD Corp merupakan persidangan pembangunan sumber manusia terkemuka di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Persidangan pembangunan sumber manusia (HR) terbesar di negara ini yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records iaitu National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2024 tampil dengan pameran berprestij serta aktiviti interaktif bagi setiap pengunjung dalam beberapa hari sahaja lagi.

Bertemakan ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan’ diangkat sebagai salah satu acara terbesar di Malaysia bermula pada 30 September hingga 2 Oktober ini.

Bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 30 September hingga 2 Oktober ini, NHCCE 2024 bakal menghimpunkan minda terbaik berhubung pembangunan modal insan, di peringkat antarabangsa mahupun domestik.

Acara tahunan perdana oleh HRD Corp, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu telah mencipta kejayaan besar tahun lalu, setelah menarik lebih 4,000 perwakilan dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Persidangan NHCCE 2024 pada kali ini akan mengetengahkan lebih 200 pempamer terkemuka yang mempamerkan trend terkini dalam pembangunan kemahiran, teknologi inovatif, selain platform untuk kesejahteraan diri pada masa depan kelak.

Selain itu, NHCCE akan menyediakan platform ‘BizMatch’ iaitu acara padanan perniagaan yang tersedia dalam dewan pameran menawarkan peluang latihan khusus untuk organisasi dengan kadar diskaun sambil menggalakkan rangkaian dan kerjasama.

Selain itu, akan adanya sesi pembelajaran dengan maklum balas, soal jawab bersama pakar-pakar terkemuka industri yang akan membincangkan teknologi, maklumat terkini berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI).

Antara penceramah dan pemain industri terkenal termasuklah: Bob Low: Perunding Pemasaran B2B, yang akan membincangkan strategi pemasaran digital;  Dr. Mohd Redza Abdul Rahman: Ketua Saintis di Synamatix Sdn Bhd, dengan fokus pada bioengineering dan Johan Donough: Pengarah Latihan dan Pendidikan di VirtualtechFrontier, yang akan membincangkan inovasi teknologi.

Difahamkan pameran NHCCE 2024 juga akan memuatkan sesi ‘Giggle and Groove’ yang akan dilaksanakan dalam suasana santai dan interaktif, pengunjung boleh merasai pengalaman permainan moden serta menikmati kepelbagaian budaya Malaysia.

Selebriti tempatan terkenal seperti Lah Ahmad, Ally Iskandar, Raqeem Brian, dan Zharif Zaki juga dijangka akan membuat penampilan khas di kawasan pameran sempena NHCCE 2024.

Terdapat juga ‘Booster Area’ atau kawasan booster untuk pengunjung yang mahu menyertai permainan trivia menggunakan platform Kahootz dan berpeluang untuk memenangi baucar menarik.

Para pengunjung juga berpeluang untuk mencuba pelbagai permainan interaktif menarik seperti Air Combat Simulator, VR Rollercoaster, VR Platforming, Basic Car Simulator dan set PlayStation.

MyFutureJob juga akan mengadakan pameran kerjaya dengan hampir 50 majikan ternama yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung, menjadikan NHCCE 2024 sebuah acara menyeluruh untuk pembangunan pembelajaran dan kerjaya.

Menurut HRD Corp, NHCCE 2024 bakal menampilkan lebih daripada 30 penceramah yang terdiri daripada peneraju pemikir global dalam modal insan, pengamal HR dan pakar industri yang berfikiran ke hadapan.

Selain itu, lebih daripada 200 pempamer terkemuka akan menawarkan produk dan perkhidmatan terkini untuk peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan pekerja.

Terdapat penceramah ternama yang bakal menyampaikan buah fikiran mereka termasuk Mehdi Hasan, wartawan dan pengulas politik British-Amerika yang pernah bekerja dengan The Guardian, Al Jazeera, Peacock serta MSNBC, di mana beliau menjadi hos rancangan ‘The Mehdi Hasan Show’.

Turut dijadualkan hadir adalah Dr. Jack J. Phillips, pakar global dalam akauntabiliti serta Dr. Justin Cohen, yang merupakan penulis buku terlaris, penceramah global dan peneraju dunia dalam transformasi manusia.

Mereka yang berminat untuk menghadiri pameran ini boleh mendaftar melalui pautan [pendaftaran NHCCE 2024](https://form.evenesis.com/NHCCE2024/visitor). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast