KUALA LUMPUR – Pasukan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang giat menjejaki transaksi aliran wang dan segala aset yang dimiliki oleh Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH)di dalam negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses itu bagaimanapun mengambil sedikit masa berdasarkan siasatan terhadap individu yang ditahan dan maklumat risikan yang telah diperoleh pasukan penyiasat PDRM.
Katanya, pada masa ini polis fokus proses menjejaki kesemua aset dan transaksi aliran wang sama ada melalui akaun syarikat mahupun individu.
“Proses menjejaki dana milik GISBH ini sedang berjalan termasuk mengesan akaun-akaun beberapa syarikat berkaitan serta akaun-akaun peribadi milik individu tertentu sama ada ahli GISBH ataupun orang luar.
“Sehingga sekarang, sebahagian besar aset-aset GISBH sudah pun disita melalui serbuan-serbuan menerusi Fasa 1 sehingga Fasa 4, baru-baru ini,” katanya selepas dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan sama, Razarudin menambah, berdasarkan pemantauan yang dijalankan polis setakat ini, pihaknya mendapati hampir keseluruhan premis berkaitan GISBH tidak beroperasi susulan serbuan besar-besaran yang telah dijalankan oleh polis.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, aktiviti perniagaan GISBH semakin kurang mendapat sambutan sejak Ogos lalu apabila kegiatan mereka didedahkan oleh laman Facebook PUKAS MALAYSIA.
“Susulan daripada perkembangan itu, kepercayaan masyarakat semakin terhakis dan kita percaya selepas itu perniagaan rangkaian GISBH mula merudum,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Razarudin dilaporkan berkata, keseluruhan 153 akaun bank berkait GISBH bernilai lebih RM880,000 telah dibekukan setakat ini.
Tindakan pembekuan itu membabitkan sebanyak 138 akaun bank yang masih aktif dan 15 akaun yang sudah ditutup sepenuhnya.
“Jumlah keseluruhan terkini ialah sebanyak 153 akaun dibekukan, iaitu 138 akaun sebanyak RM882,795.94 dan 15 akaun yang telah ditutup.
“Turut dibekukan ialah 22 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan.
“Tindakan pembekuan itu diambil polis di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).
“Selain itu, pasukan polis turut mrngambil tindakan penyitaan aset mengikut Seksyen 45(2) akta sama, membabitkan 16 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM2.07 juta selain merampas 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan kuda, 14 arnab serta tiga burung merak, selain wang tunai RM18,650 dan dua jam tangan bernilai RM600,” katanya lagi.-MalaysiaGazette