Seorang penunggang motosikal melintasi jalanraya yang dihiasi bendera-bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sempena pilihan raya kecil Dun Mahkota ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Jalan Selar, Kluang. Foto SADIQ SANI, 18 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu dijangka melanda pada hari pengundian esok.

“Cuaca diramalkan hujan pada sebelah petang jadi para pengundi dinasihatkan untuk merancang perjalanan ke pusat mengundi.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan cuaca dalam keadaan baik dan cerah pada waktu pagi namun dijangka berlaku hujan serta ribut petir di sebelah petang.

“Oleh yang demikian, rancang sebaik-baiknya perjalanan untuk keluar mengundi esok dengan tidak menunggu saat akhir datang ke pusat pengundian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengenai persiapan SPR, Ikmalrudin berkata, seramai 1,126 petugas akan membantu melancarkan proses proses pengundian.

Proses pengiraan dan pengumuman calon yang menang PRK DUN Mahkota akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

SPR memaklumkan seramai 61,397 pengundi layak mengundi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) membabitkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang esok.

Pengundian awal PRK DUN Mahkota diadakan Selasa lalu melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan serta pasangan selain SPR mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September.

Kedua-dua calon bertanding iaitu calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syd Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar akan menunaikan kewajipan mereka.

Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)  Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast