KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 peratus jawatan daripada 97 peranan dalam sektor kewangan  negara menerima impak yang signifikan susulan  revolusi penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, disebabkan impak itu terdapat jawatan-jawatan yang berpotensi dalam sektor berkenaan akan terlibat dengan penggabungan atau digantikan dengan teknologi.

Jawatan-jawatan tersebut antaranya ialah pegawai perkhidmatan pelanggan, penasihat pelaburan dan analisis pelaksanaan, ejen jualan langsung, pegawai jualan produk, pengurus hubungan, pengurus pembangunan perniagaan, pegawai kredit dan pinjaman, pegawai operasi pelaburan dan perkhidmatan sekuriti,.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Dalam masa yang sama, sebanyak sembilan peratus jawatan baharu akan wujud berkaitan sektor kewangan  terkait dengan teknologi.

Jawatan-jawatan tersebut ialah pakar pembelajaran mesin, arkitek integrasi, jurutera simpanan perisian, penganalisis transformasi digital dan penerimaan.

“Peranan baharu ini tidak biasa dilihat dalam sektor itu pada masa ini tetapi akan mendapat lebih banyak keutamaan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sim menambah, dalam sektor ICT, lapan peratus daripada peranan semasa akan sangat terjejas manakala 30 peratus akan memberi impak sederhana.

Beliau berkata kemahiran baharu muncul dalam sektor itu termasuk sintesis teknologi baru muncul, pengurusan automasi, perancangan ujian, strategi IT dan seni bina penyelesaian.

Sim memuji penggunaan AI boleh mengurangkan masa bagi permohonan geran dan tuntutan.

“Manfaat daripada penggunaan AI membantu memendekkan masa pemprosesan permohonan geran di HRD Corp daripada 154 jam pada 2022 melibatkan 239,776 jumlah permohonan diproses, kepada 19 jam pada 2023 dengan 359,170 jumlah permohonan diproses,” katanya

Menurutnya, laporan peratusan berkenaan adalah berasaskan daripada data industri yang dijangka akan dibentang dalam masa terdekat.

“Sampel yang saya sebutkan tadi telah melalui bukan sahaja kajian teori tetapi juga perbincangan kumpulan fokus dengan pemimpin industri semasa,” katanya lagi.

Jelasnya, kementerian itu  akan merangka polisi berkaitan rancangan latihan kemahiran yang berpotensi untuk dilaksanakan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here