sektor pertanian Saarani Mohamad MGPerak Perak Sejahtera sektor pertanian
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberikan anak pokok kelapa kepada orang ramai ketika melawat reruai Jabatan Pertanian Negeri Perak pada Karnival J.O.M (Jelajah Orang Muda) Healing @ Sungai Siput 2024 di Padang Felda Lasah, Sungai Siput. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 OGOS 2024.

IPOH – Kerajaan Perak tidak pernah melupakan sektor pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi negeri ini sejak dahulu lagi meskipun dilihat banyak memberi tumpuan kepada sektor industri.

Sebaliknya kedua-dua sektor tersebut diberi perhatian dengan seimbang memandangkan untuk menjadi sebuah negeri yang progresif, Perak perlu memanfaatkan kekuatan yang ada dengan memacu sektor industri dan juga memperkasa sektor pertanian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam landskap ekonomi yang semakin moden dan berdaya saing, pertanian terus menjadi tunjang kepada pembangunan di negeri ini.

Beliau berkata, sektor pertanian bukan sahaja menyediakan sumber makanan yang mencukupi, tetapi juga menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negeri khususnya dalam menyokong kehidupan masyarakat luar bandar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Sanjungan Budi Tahun 2024 & Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Pertanian Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 SEPTEMBER 2024.

“Meskipun kita memberi tumpuan kepada sektor industri yang semakin pesat berkembang, namun kita tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa sektor pertanian adalah penyumbang utama kepada kestabilan makanan negara.

“Ia juga berperanan penting dalam memastikan kelestarian sumber semula jadi serta menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran melalui peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi Tahun 2024 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Pertanian Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Isnin.

Tambah Saarani, pihaknya percaya bahawa pertanian yang moden dan mampan mampu menjadi sektor yang menguntungkan negeri sekiranya digabungkan dengan teknologi baharu, inovasi, dan strategi pemasaran yang berkesan.

“Dengan cara itu, sektor pertanian akan terus menjadi komponen penting yang melengkapi pembangunan industri dan sektor ekonomi yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri Perak melalui pelan Perak Sejahtera 2030 telah menetapkan agenda Sekuriti Makanan sebagai salah satu agenda utama.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang bagi memastikan Perak sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi cabaran masa depan, terutamanya dalam aspek kecukupan makanan dengan memastikan Perak mampu menjadi negeri pengeluar makanan yang mencukupi dan berkualiti tinggi untuk rakyat.

Jelas Saarani Projek ‘Bawang Perak’ merupakan salah satu bukti bahawa Kerajaan Negeri Perak mampu melakukan perkara berkenaan.

“Kita berjaya memadam segala keraguan bahawa kita mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada produk-produk makanan dari luar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan kepada penerima penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Sharoladli Arbaai pada Majlis Sanjungan Budi Tahun 2024 & APC Tahun 2023 Jabatan Pertanian Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 SEPTEMBER 2024.

“Ia adalah salah satu daripada testimoni bahawa jika kita ada kesungguhan dan kepercayaan yang jitu terhadap kemampuan kita, kita mampu mencipta kejayaan yang bermakna, Insya-Allah,” katanya.

Sektor pertanian sumbang 14.2 peratus KDNK Perak 2023

Jika dirujuk data dan statistik, sektor pertanian menyumbang 14.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Perak pada tahun 2023.

Ia menjadi cerminan betapa sektor ini mempunyai peranan besar dalam memastikan keterjaminan makanan dan kestabilan ekonomi negeri.

Namun begitu, Saarani berkata, semua pihak tidak boleh terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut ekoran pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, kekurangan tanah pertanian, dan isu keterjaminan makanan perlu ditangani dengan bijaksana dan penuh kesedaran.

“Dengan meletakkan aspek sekuriti makanan sebagai agenda penting dalam pelan Perak Sejahtera 2030, saya dan rakan-rakan pentadbiran komited untuk terus menyokong usaha-usaha ke arah kelestarian pertanian melalui penyelidikan, inovasi, dan pengenalan kaedah baru yang lebih mesra alam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Sanjungan Budi Tahun 2024 & Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Pertanian Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 SEPTEMBER 2024.

“Pada masa yang sama, projek-projek berimpak tinggi akan terus menjadi teras dalam agenda menjayakan pelan ini,” katanya.

Jelas Saarani, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan termasuklah mewujudkan Hab Daging Halal Antarabangsa yang bertujuan meningkatkan daya saing sektor pertanian dengan memperkenalkan produk halal yang berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Katanya, di samping itu, penganjuran Perak Agro Fest menjadi platform untuk mempamerkan teknologi pertanian terkini serta membuka peluang kerjasama antara petani tempatan dan antarabangsa.

“Begitu juga dengan inisiatif kita dalam mewujudkan kolaborasi dengan universiti-universiti ternama termasuk di luar negara bagi menjayakan penubuhan Akademi Sekuriti Makanan.

“Akademi ini akan memain peranan penting dalam menyediakan latihan dan bimbingan kepada petani kita, khususnya dalam aspek pengurusan hasil pertanian yang lebih efisien dan berdaya saing,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkasa keterjaminan makanan dalam skala besar

Sektor pertanian perlu ‘diremajakan’ untuk tarik belia

MGPerak: Perak Tidak Lupakan Sektor Pertanian, Dibangun Seiring Sektor Industri