Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Johor akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dalam usaha memulihkah akidah mereka yang terlibat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawantankuasa tersebut sudah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ke-275.

“Penubuhan jawatankuasa ini berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah mereka yang terlibat dengan GISBH di negeri Johor.

“Selain itu, penubuhan ini juga bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISBH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan negeri memantau perkembangan GISBH, malah telah memulakan dan akan terus mengambil tindakan termasuk meneruskan siasatan ke atas aktiviti dan pergerakan mereka di Johor.

Pelaksanaan Op Global bersama-sama polis, bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijalankan pada 20 dan 21 September lalu.

Menerusi operasi bersepadu itu katanya, melibatkan lapan daripada 43 buah premis pemilikan GISBH di lima daerah iaitu Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing.

Hasil operasi tersebut katanya, seramai 29 individu ditahan dan 30 kanak-kanak serta remaja diselamatkan.

“Kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam operasi tersebut telah ditempatkan di bawah jagaan JKM dalam tempoh satu bulan,” ujarnya.

MAINJ katanya, menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada JKM bagi keperluan pakaian dan buku pelajaran.

Beliau memberitahu, turut dijumpai lebih 20 buku dan risalah mencurigakan yang berkaitan dengan Aurah Muhammadiah.

Bagi 29 individu yang direman pula katanya, lapan daripadanya ditangkap semula kerana disyaki memiliki buku berkaitan Aurah Muhammadiyah.

“Hal ini kerana memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram adalah merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 9, mengingkari pihak berkuasa dan Seksyen 13, penerbitan bersalahan dengan hukum syarak,” katanya.

Menteri Besar Johor menegaskan, MAINJ akan terus menggunakan kekuatan enakmen yang sedia ada dan sentiasa bekerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku agensi agama di peringkat Persekutuan bagi meneliti, mengkaji dan termasuk membuat sebarang ketetapan yang berkaitan dengan status GISBH.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here